Thursday, 19 December 2013

Nikmat...


  

                                                             بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi yang tidak pernah berkira dalam memberi nikmat. Semua hanya pinjaman daripada-Nya untuk sementara. Jangan berasa jemu dalam mengucapkan syukur.

Sesuatu yang aku belajar daripada rasa futur iaitu putus asa. Alhamdulillah. Baru lepas ambil keputusan PMR dan aku bukan antara yang dapat straight A's. Memang tak target straight A's dan alhamdulillah keputusan lepas daripada target tapi rasa futur muncul dalam diri melihatkan ramai yang gembira mengumumkan keputusan mereka. Tipu jika aku kata tiada langsung rasa sedih, kecewa. Aku sorok. Biar tidak merosakkan kegembiraan sahabat.

Hadirnya seorang hamba Allah, muda setahun dari aku. Mungkin nasihat yang dia beri adalah amanah dari Ilahi. Sungguh menyentap tangkai hati. Katanya,

"Kakak sedara Fad dulu masa PMR langsung takde A. Tapi masa SPM, dia dapat 9A+. Hehe hebatkan kuasa Allah? Hidup ni tak lama pun kita dekat bawah. Jangan terlalu futur dengan sesuatu keadaan kerana dengan satu saja ujian, Allah beri seribu kebahagiaan. Tugas kita sebagai hamba adalah berdoa dan bersabar :)" - Fadzliza

Sungguh. Kata-kata ini sedikit sebanyak membantu. Aturan Allah sungguh indah. Tak lama aku futur lalu dihadirkan seorang hamba-Nya buat menarik aku bangkit kembali. Tidak ucap banyak, aku terlalu bersyukur. Keluarga juga turut menyokong. Bak kata ibu, A tu tak bawa masuk syurga. Abang kata, PMR je ni, orang tak pandang sangat pun, cuba lagi masa SPM nanti. Aku tahu ini sekadar penyedap hati. Alhamdulillah. Kena lah dengan usaha sendiri kan, jadi buat apa nak kecewa. Yang straight A's pun Allah sedang uji. Sama ada sedar atau tak. Syukur atau riak.

Ini yang aku belajar. Ini hikmah yang Allah tunjuk. Yang aku nak selitkan di sini ialah, takkan baru sikit Allah uji, terus lupa nikmat yang selama ni Allah beri? Terlalu banyak nikmat yang dipinjamkan, jadi tak salah kan kalau Dia nak uji dengan tarik sikit nikmat tu? Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tidak dibiarkan hamba-Nya terus jatuh merudum. Allah takkan ubah sesuatu kaum selagi dia tidak mengubah dirinya sendiri. Rasulullah SAW bersabda;

"Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu kerana dengan demikian, kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Renungkan sabda Rasullullah SAW ini lalu kau akan rasa beruntung. Ya. Jangan tengok orang yang atas daripada kita. Sentiasa bersyukur. Ramai lagi yang mahukan kehidupan seperti kita. Tolong. Aku mohon. Bersyukur sentiasa. Jangan sampai Allah tarik balik semua nikmat yang kita pinjam selama ni. Sedar bahawa kita bukan sentiasa di atas dan bukan sentiasa di bawah. Percaya pada Allah. Dia Maha Adil. Hidup jangan terlalu mendongak bangga diri, dunia bukan kekal selamanya. Yang penting, persiapkan diri untuk akhirat. Dunia pun dah tak lama. Bila-bila masa je Allah akan tamatkan riwayat bumi.

Jangan kecewa. Jangan putus asa. Jangan sedih. Jangan salahkan takdir. Mengadu pada Allah. Yang baik menanti di hadapan. Mungkin Allah belum bagi kerana itu bukan yang terbaik untuk kita. Allah lebih tahu. Bersangka baik. Selagi Allah ada, takkan engkau tercela. Bergantung lah hanya pada Allah. Jika jatuh, bangkit semula. Jangan tunggu lama-lama kerana yang baik menanti kita. Senyum dan berserah hanya pada Dia. Ingatan buat diri sendiri yang juga selalu leka. Moga semuanya berada dalam limpah rahmat-Nya serta kasih sayang dia, insyaAllah aamiin.

Wednesday, 9 October 2013

Teguran...

                                                            
                
                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah atas segalanya. Masih mampu berdiri teguh di muka bumi dengan izin-Nya. Bukan semua punya apa yang kita ada sehingga ke hari ini. Syukur.

Teguran.

Perkataan yang meresap ke dalam tiap hati.
Untuk menyedarkan daripada leka.
Tetapi yang aku jumpa, terlalu banyak cara.


Maaf aku kata.
Yang aku jumpa, sindiran banyak tak kena.
Dalam pelbagai cara, untuk menyakiti hati seseorang bukan salah satu daripadanya.

Aku suka.
Dengan cara tegur yang buat aku sentap.
Muhasabah bagi aku.
Sentap kerana yang ditegur itu memang salah aku.
Secara langsung atau tidak.

Sentap itu dapat menyedarkan aku.
Mesej dari Dia.
Yang teristimewa.

Mungkin sesetengah tidak dapat menerima.
Kita punya pelbagai persepsi yang berbeza.
Untuk menolak atau menerima.

Cara penyampaian itu menjadi persoalan.
Aku hairan.
Makin ramai yang menggunakan kaedah sinis.

Cuma satu aku nak ingatkan.
Buat peringatan.
Aku dan kau.

Manusia memang tak lari dari dosa.
Kau pun tahu.
Menegur punya banyak cara.
Bukan dengan menyakiti.
Bukan dengan menjauhkan diri.

Tegas itu perlu jika cara lembut tidak mendatangkan kesan.
Tegas itu bukan dalam cara menyindir seolah olah kita tiada dosa.
Tegas, lain. Sindir, lain. Garang, lain.

Moga hati kita mudah untuk menerima teguran.
Moga tidak cepat melenting.
Moga Allah lembutkan hati kita.
InsyaAllah.

Jika ada salah silap, mohon maaf.
Aku cuma beri pendapat.
Yang mana salah, harap tegur.
Yang baik itu semuanya datang dari Dia.

Moga bermanfaat.
Peringatan buat semua.
Termasuk diri aku sendiri.


Thursday, 22 August 2013

Labuh tudung ini...



                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Syukur atas segalanya. Tidak terkira nikmat yang dipinjamkan Dia. Terlalu banyak. Alhamdulillah.

Cerita yang nak dimulakan ni memang berlaku pada diri aku sendiri. Moga yang di luar sana hentikan pandangan sinis terhadap perempuan yang bertudung labuh. Jika ada silap, bukan dari tudung labuh yang dipakai tetapi dari si pemakai. Manusia, kata tak sempurna kan. Mengapa perlu rebah sedangkan penguat itu adalah Allah. Bagaimana kata-kata mereka mampu membuatkan kita mengalah sedangkan kita masih punya Allah.

Buat semua,

Labuh tudung ini bukan menandakan ilmu aku lebih tinggi.
Bukan untuk membangga diri.
Bukan untuk mendabik dada, berjalan dengan bangga.
Bukan untuk dianggap baik mahupun alim di mata manusia.
Bukan.

Cukup dan hentikan semua prasangka.
Labuh tudung ini buat meraih redha Ilahi.
Buat melindungi diri, menjaga diri.
Mengingatkan supaya menjaga tiap gerak geri.
Buat tiada mata lelaki yang memerhati.
Menutup dada dengan sempurna.
Mengikut peraturan Allah, bukan dunia.

Biar dikata.
Biar dihina.
Biar dikeji.
Allah sentiasa ada di sisi.
Senyum.

Yang diperlukan itu bukan redha mereka.
Cukup hanya redha Dia.
Dunia akhirat bahagia.
InsyaAllah.
Segalanya dengan izin-Nya.

Friday, 2 August 2013

Ibu, ayah.. Cinta hati sampai mati...




                                                           بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah kerana kita masih diberi peluang untuk menambahkan amalan buat bekalan untuk berjumpa dengan Tuhan. Syukur.

Ibu. Ayah. Sering mengingatkan supaya jaga hubungan dengan Tuhan. Biar berjaya dunia dan akhirat. Wajah ibu yang berseri gembira. Wajah ayah yang tersenyum bangga. Aku perhati. Dua kekasih hati yang disayangi. Bagaimana jika mereka tinggalkan aku nanti? Bagaimana jika mereka pergi menghadap Ilahi dulu sebelum diri ini? Adakah aku redha dengan pemergian mereka di suatu hari yang pasti?

Redha. Mungkin di mulut aku mengaku tetapi bagaimana dengan hati? Di saat perlukan kekuatan, mereka setia menghulur tangan. Untuk bangkit dari kejatuhan. Untuk terus menyambung perjuangan dalam mencari redha Tuhan. Bukan sekarang. Dan bukan juga di masa yang akan datang. Tak bersedia. Hakikatnya, takkan pernah bersedia. Biar aku pergi dulu jika boleh mengganti tempat mereka. Namun, sia-sia. Aku tahu takkan pernah dapat mengganti tempat sesiapa pun buat menyahut seruan Ilahi.

Wajah ibu ditatap lama. Sayang. Sayang teramat. Yang berkorban segalanya, buat anak tercinta. Yang setia mendoakan kejayaan anaknya tanpa dipinta. Yang kadang terguris namun tidak di cerita. Kerana apa? Sayang. Atas dasar sayang. Hadir anaknya anugerah Tuhan selama 9 bulan dalam kandungan, dia bersyukur. Dia yang paling gembira. Tidak sabar menyambut anak yang dinanti dari kandungannya sendiri. Dan bila tiba saat melahirkan, dia kuat. Dia tetap memilih untuk melahirkan walau sakitnya bagai menghampiri kematian. Penat. Lelah. Namun, dia masih mampu tersenyum mendengar tangisan bayi yang baru dilahirkan ke bumi. Menatap wajah suci anaknya sendiri, memori terindah. Dijaga dengan penuh teliti. Sehingga besar, kasih sayangnya tidak pernah berubah. Hati yang kadang terguris dengan kata-kata mahupun sikap anak tercinta, tidak diendahkan. Di atas tikar sejadah, dia mendoakan anaknya. Dia menangis. Memohon dengan bersungguh-sungguh. Biar terguris teruk mana sekalipun, dia rela. Dengan kebahagiaan anaknya, itulah kebahagiaannya.

Ayah. Lelaki yang hebat. Lelaki yang jarang mengungkap kata sayang pada anaknya namun jauh di sudut hati, tidak terungkap bagaimana sayangnya dia terhadap anaknya. Dia yang menggalas tanggungjawab besar dalam keluarga. Lelaki yang tampak gagah di hadapan mata. Hakikatnya, dia juga manusia. Seusai solat, pasti dia menadah tangan untuk meminta dari Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Lama. Linangan air mata yang membasahi pipi. Dia menangis. Memohon kekuatan dari Tuhan. Dia kuat kerana dia mahu isterinya juga anaknya kuat. Dia tidak tunjuk kesedihannya, kesakitannya. Dia rela menanggung sendiri. Dia perlu kuat. Untuk itu, dia hanya menangis di hadapan Tuhan. Kerana dia tahu Tuhan lebih mengerti apa yang dirasai. Setiap hari, anak juga disebut dalam doanya yang panjang. Dia tidak minta apa, cuma minta agar anaknya berjaya dunia dan akhirat. Bila dia kecewa, bila dia terguris atas sikap anaknya, dia memilih untuk diam. Tidak secuit pun rasa kasih hilang dari dalam hati. Tetap ada di sanubari. Dia harap, anaknya sedar akan kasih sayang dia juga isterinya yang tidak akan pernah berubah.

Allah. Tuhan. Rabb. Beri aku kekuatan. Jika tiba hari itu, yakinkan aku dengan ketentuan-Mu. Jika aku pergi dulu, tabahkan hati ayah serta ibu. Hanya bergantung pada-Mu. Menanti saat dijemput oleh malaikat, atas suruhan-Mu. Sama ada dengan cara lembut mahupun kasar, hanya Engkau yang tahu. Ibu, ayah. Cinta hati sampai mati.

Friday, 19 July 2013

Kita yang baru...




                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah atas segala nikmat yang kita peroleh dari-Nya. Tidak mampu dihitung berapa banyak nikmat yang kita peroleh dari Allah yang Maha Pemurah. 

Mari. Kuat bersama meniti di jalan yang penuh onak juga duri. Melangkah ke alam yang sama namun dengan nafas yang baru. Bersama melakukan perubahan pada mata dunia. Melonjakkan nama Islam yang kian pudar ditindas manusia durjana.

Meneruskan misi dakwah yang seiring dengan perbuatan kita. Bagaimana berdakwah kepada semua tetapi tidak ditujukan dakwah itu buat diri sendiri? Bermula dari dalam diri. Bukan setakat kencang berdakwah di alam maya namun realitinya kosong. Perbetulkan niat. Jika populariti yang dicari, ternyata populariti lah yang diterima tetapi tidak untuk menerima perhatian dari-Nya.

Ujian yang menimpa bukan tanda benci malah sebenarnya ia tanda cinta daripada-Nya. Bertuah adanya Dia yang menyedarkan diri tika kita mula tenggelam dengan dunia. Allahu Allah. Moga Allah terus pimpin kita menuju syurga-Nya. Kuatkan kaki melangkah dan jangan berpaling semula ke zaman jahiliyyah. Terima dengan redha dan ucapkan syukur atas ujian tanda perhatian-Nya. Bagaimana mahukan syurga jika diri selalu berputus asa atas ujian yang diterima? Ingat. Syurga itu buat hamba Dia yang hebat. Bukan hebat di mata manusia namun hebat pada pandangan Dia.

Jaga hati. Buat yang halal menanti. InsyaAllah jika ada rezeki untuk merasakan cinta yang suci. Jauhkan diri dari cinta manusia sebelum tiba masanya. Belajar, banggakan ibu bapa. Perasaan suka atau cinta itu sememangnya anugerah dari Allah tapi itu bukan alasan untuk terjebak dalam cinta monyet, cinta beruk mahupun cinta king kong. Semua tahu yang couple tu haram tapi kenapa masih ada yang sengaja melanggar perintah Allah? Sepenuh yakin dah ke tu jodoh sendiri nanti? Bukan nak nyatakan di sini mereka yang couple itu ahli neraka malah siapa aku untuk menentukan syurga mahupun neraka. Ini juga peringatan buat diri sendiri yang juga leka dengan dunia.

Ayuh kita berganding bahu dalam usaha untuk menggapai syurga. Lupakan kisah lama. Dengan semangat yang baru juga nafas yang baru. Ya, ini kita yang baru. Mujahadah dalam menuju mardhatillah. Kita mampu mengubah jika ada usaha. Yakin bahawa Allah sentiasa bersama. Maaf andai ada yang terasa. Maaf jika cara aku, tidak mengena. Moga istiqamah dalam menyampaikan kebaikan, insyaAllah.

Saturday, 6 July 2013

Ramadhan...




                                                              بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah. Jangan lupa untuk ucapkan syukur kerana tanpa izin-Nya, tidak mungkin kita masih mampu bergerak walau seinci pun pada hari ini. 

Ramadhan. 10 hari yang pertama adalah kerahmatan. 10 hari pertengahan adalah kemaafan. 10 hari yang terakhir adalah pelepasan dari azab api neraka.

Kehadirannya dinanti, perginya kan dirindui. Bulan yang membawa rahmat. Terdapat di dalamnya malam lailatul qadar. Dapat dirasa bersama bagaimana keadaan saudara seIslam yang terpaksa mengikat perut kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Bulan kesabaran. Sedang kesabaran itu balasannya ialah syurga. Mengajar kita supaya memupuk sifat istiqamah dan ikhlas dalam diri. Anugerah dari Allah sebagai kasih sayang-Nya terhadap setiap hamba-Nya. Tidak disia-siakan keletihan hamba-Nya berpuasa. 

Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup. Dari sahur sehingga waktu berbuka. Ummah yang berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala. Berusaha melawan nafsu memandangkan syaitan telah dirantai dalam neraka sana. Yang tidak menutup aurat, mula menutup auratnya. Yang kadang tinggal solat, mula menyempurnakan 5 waktu solatnya. Semua berusaha menjadi yang lebih baik dalam satu bulan dan moga ianya berterusan.

Setiap apa sahaja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu juga turut berganda walaupun syaitan dirantai oleh Allah. Kerana apa? Kerana nafsu telah bertapak dan bermaharajalela. Seringkali menyalahkan si syaitan dan si iblis yang menggoda dan menghasut di bulan biasa tetapi mengapa kesilapan yang sama berlaku ketika di bulan Ramadhan? Berpuasa bukan hanya berlapar sebaliknya berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi sebagai umat Islam.


Berpuasa bukan alasan untuk hanya berehat, goyang kaki semata-mata. Orang lain boleh je buat kerja berat walaupun sedang berpuasa, kenapa nak guna alasan 'penat, lapar, aku puasa' ketika disuruh buat kerja? Amboi, banyak songeh. Jangan nak lembik sangat. Baru berapa jam je puasa. Cer kuat sikit bukannya Allah suruh puasa tanpa berbuka. Didik diri. Solat terawih tu kalau boleh, jangan tinggal walaupun ianya sunat. 

Masa ni lah nak kutip pahala banyak-banyak. Tiada hasutan cuma yang ada hanya nafsu. Antara nak atau tak je. Bersama-sama kita menilai diri. Semoga amalan kita semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Kutip pahala sebanyak mungkin di bulan mulia ini. Andai sahaja Ramadhan pada tahun ini ialah Ramadhan terakhir kita, Allahu. Allahhumma balighna Ramadhan.

Friday, 5 July 2013

Dia, Pencipta Semesta...



                                                              بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Assalamualaikum yang sedang membaca :) Alhamdulillah, alhamdulillah. Sehingga ke hari ini, kita masih dapat peluang memperbaiki diri. Sama-sama kita baiki hati juga iman dalam diri.

Dia , Pencipta Semesta. Sentiasa memerhati. Melihat gerak geri hamba-Nya. Tak pernah dibiarkan hamba-Nya sedetik pun tanpa pengawasan. Dirakam segala perlakuan setiap manusia. Sama ada baik atau sebaliknya. Akan dipapar pada hari akhirat, itu janji-Nya.

Dia yang sentiasa bersama kita walau apa jua keadaan. Setiap masa dan ketika. Walau diri penuh dengan dosa dan noda, Dia tetap bersama. Tidak pernah berkira tapi kita? Kadang hanya mendekat bila ujian menimpa. Tapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kita masih ada rasa. Rasa untuk kembali pada-Nya dan rasa itu datang juga daripada-Nya. Cuma perlu perbetulkan semula. Mencari Dia bukan hanya ketika susah, setiap masa perlu ada rasa untuk mendekati-Nya. Peringatan kadang datang tanpa kita sedar. Diberi ujian ketika kita mula menjauh dari-Nya, itu peringatan khas dari-Nya. Untuk apa ujian itu? Untuk merapatkan lagi hubungan kita dengan Dia.

Allah. Sentuhan hidayah dari-Nya sungguh menenangkan. Diri yang dibelenggu jahiliyyah mula menampakkan sinar. Sinar dari sentuhan hidayah-Nya. Sinar Islam dalam diri. Memulakan gerak langkah dengan penuh yakin di hari-hari yang mendatang. Dia yang Maha Mengetahui saat kita mula lelah dan mencari semula kekuatan di dalam solat. Tangisan dalam doa. Memohon dikentalkan jiwa agar tidak terasa dengan kata-kata manusia. Dia beri kekuatan itu tika kita mula sedar sampai bila harus bersedih hanya kerana manusia yang tak menjamin apa-apa? Ya, Dia beri. Dia tahu kita mampu jadi disuntik semula kekuatan ke dalam diri.

Sayang-Nya yang tidak terbatas ke atas setiap hamba-Nya. Walau dosa kita tidak terkira, Dia masih mengampunkan kita jika kita bertaubat dan ingin kembali pada-Nya. Kerana apa? Kerana sayangnya Dia pada kita. Jadi kenapa dipersoalkan di mana Dia ketika kita bersedih sedangkan Dia sentiasa ada cuma kita yang tak berusaha? Jangan diragui seluas mana kemaafan-Nya kerana sudah terbukti Allah itu Maha Pengampun. Dan di saat kita menangis hiba di atas sejadah ketika mengadu pada-Nya, Dia ada. Dia saksi segalanya. Saksi bagaimana kita ketika tiada seorang pun melihat. Saat kita hampir mengalah dan hampir rebah, Dia tahu. Hakikatnya, Dia sememangnya sentiasa mengetahui terlebih dahulu. Dia menguji bukan untuk melemahkan sebaliknya menguatkan. Agar kita terus berpegang teguh pada-Nya.

Moga terus kuat untuk agama, terus kuat demi Allah. Pemilik segala-galanya yang setia mendengar setiap rintihan hati hamba-Nya. Alhamdulillah. Terima kasih, Allah. Tanpa redha-Nya, kita hidup namun bagaikan tidak bernyawa. Mari kembali. Kembali mengingati-Nya di kala senang mahupun susah. Dengan izin Allah, dapat dirasa tenang setiap masa.