Friday 19 July 2013

Kita yang baru...




                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah atas segala nikmat yang kita peroleh dari-Nya. Tidak mampu dihitung berapa banyak nikmat yang kita peroleh dari Allah yang Maha Pemurah. 

Mari. Kuat bersama meniti di jalan yang penuh onak juga duri. Melangkah ke alam yang sama namun dengan nafas yang baru. Bersama melakukan perubahan pada mata dunia. Melonjakkan nama Islam yang kian pudar ditindas manusia durjana.

Meneruskan misi dakwah yang seiring dengan perbuatan kita. Bagaimana berdakwah kepada semua tetapi tidak ditujukan dakwah itu buat diri sendiri? Bermula dari dalam diri. Bukan setakat kencang berdakwah di alam maya namun realitinya kosong. Perbetulkan niat. Jika populariti yang dicari, ternyata populariti lah yang diterima tetapi tidak untuk menerima perhatian dari-Nya.

Ujian yang menimpa bukan tanda benci malah sebenarnya ia tanda cinta daripada-Nya. Bertuah adanya Dia yang menyedarkan diri tika kita mula tenggelam dengan dunia. Allahu Allah. Moga Allah terus pimpin kita menuju syurga-Nya. Kuatkan kaki melangkah dan jangan berpaling semula ke zaman jahiliyyah. Terima dengan redha dan ucapkan syukur atas ujian tanda perhatian-Nya. Bagaimana mahukan syurga jika diri selalu berputus asa atas ujian yang diterima? Ingat. Syurga itu buat hamba Dia yang hebat. Bukan hebat di mata manusia namun hebat pada pandangan Dia.

Jaga hati. Buat yang halal menanti. InsyaAllah jika ada rezeki untuk merasakan cinta yang suci. Jauhkan diri dari cinta manusia sebelum tiba masanya. Belajar, banggakan ibu bapa. Perasaan suka atau cinta itu sememangnya anugerah dari Allah tapi itu bukan alasan untuk terjebak dalam cinta monyet, cinta beruk mahupun cinta king kong. Semua tahu yang couple tu haram tapi kenapa masih ada yang sengaja melanggar perintah Allah? Sepenuh yakin dah ke tu jodoh sendiri nanti? Bukan nak nyatakan di sini mereka yang couple itu ahli neraka malah siapa aku untuk menentukan syurga mahupun neraka. Ini juga peringatan buat diri sendiri yang juga leka dengan dunia.

Ayuh kita berganding bahu dalam usaha untuk menggapai syurga. Lupakan kisah lama. Dengan semangat yang baru juga nafas yang baru. Ya, ini kita yang baru. Mujahadah dalam menuju mardhatillah. Kita mampu mengubah jika ada usaha. Yakin bahawa Allah sentiasa bersama. Maaf andai ada yang terasa. Maaf jika cara aku, tidak mengena. Moga istiqamah dalam menyampaikan kebaikan, insyaAllah.

Saturday 6 July 2013

Ramadhan...




                                                              بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah. Jangan lupa untuk ucapkan syukur kerana tanpa izin-Nya, tidak mungkin kita masih mampu bergerak walau seinci pun pada hari ini. 

Ramadhan. 10 hari yang pertama adalah kerahmatan. 10 hari pertengahan adalah kemaafan. 10 hari yang terakhir adalah pelepasan dari azab api neraka.

Kehadirannya dinanti, perginya kan dirindui. Bulan yang membawa rahmat. Terdapat di dalamnya malam lailatul qadar. Dapat dirasa bersama bagaimana keadaan saudara seIslam yang terpaksa mengikat perut kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Bulan kesabaran. Sedang kesabaran itu balasannya ialah syurga. Mengajar kita supaya memupuk sifat istiqamah dan ikhlas dalam diri. Anugerah dari Allah sebagai kasih sayang-Nya terhadap setiap hamba-Nya. Tidak disia-siakan keletihan hamba-Nya berpuasa. 

Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup. Dari sahur sehingga waktu berbuka. Ummah yang berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala. Berusaha melawan nafsu memandangkan syaitan telah dirantai dalam neraka sana. Yang tidak menutup aurat, mula menutup auratnya. Yang kadang tinggal solat, mula menyempurnakan 5 waktu solatnya. Semua berusaha menjadi yang lebih baik dalam satu bulan dan moga ianya berterusan.

Setiap apa sahaja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu juga turut berganda walaupun syaitan dirantai oleh Allah. Kerana apa? Kerana nafsu telah bertapak dan bermaharajalela. Seringkali menyalahkan si syaitan dan si iblis yang menggoda dan menghasut di bulan biasa tetapi mengapa kesilapan yang sama berlaku ketika di bulan Ramadhan? Berpuasa bukan hanya berlapar sebaliknya berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi sebagai umat Islam.


Berpuasa bukan alasan untuk hanya berehat, goyang kaki semata-mata. Orang lain boleh je buat kerja berat walaupun sedang berpuasa, kenapa nak guna alasan 'penat, lapar, aku puasa' ketika disuruh buat kerja? Amboi, banyak songeh. Jangan nak lembik sangat. Baru berapa jam je puasa. Cer kuat sikit bukannya Allah suruh puasa tanpa berbuka. Didik diri. Solat terawih tu kalau boleh, jangan tinggal walaupun ianya sunat. 

Masa ni lah nak kutip pahala banyak-banyak. Tiada hasutan cuma yang ada hanya nafsu. Antara nak atau tak je. Bersama-sama kita menilai diri. Semoga amalan kita semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Kutip pahala sebanyak mungkin di bulan mulia ini. Andai sahaja Ramadhan pada tahun ini ialah Ramadhan terakhir kita, Allahu. Allahhumma balighna Ramadhan.

Friday 5 July 2013

Dia, Pencipta Semesta...



                                                              بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Assalamualaikum yang sedang membaca :) Alhamdulillah, alhamdulillah. Sehingga ke hari ini, kita masih dapat peluang memperbaiki diri. Sama-sama kita baiki hati juga iman dalam diri.

Dia , Pencipta Semesta. Sentiasa memerhati. Melihat gerak geri hamba-Nya. Tak pernah dibiarkan hamba-Nya sedetik pun tanpa pengawasan. Dirakam segala perlakuan setiap manusia. Sama ada baik atau sebaliknya. Akan dipapar pada hari akhirat, itu janji-Nya.

Dia yang sentiasa bersama kita walau apa jua keadaan. Setiap masa dan ketika. Walau diri penuh dengan dosa dan noda, Dia tetap bersama. Tidak pernah berkira tapi kita? Kadang hanya mendekat bila ujian menimpa. Tapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kita masih ada rasa. Rasa untuk kembali pada-Nya dan rasa itu datang juga daripada-Nya. Cuma perlu perbetulkan semula. Mencari Dia bukan hanya ketika susah, setiap masa perlu ada rasa untuk mendekati-Nya. Peringatan kadang datang tanpa kita sedar. Diberi ujian ketika kita mula menjauh dari-Nya, itu peringatan khas dari-Nya. Untuk apa ujian itu? Untuk merapatkan lagi hubungan kita dengan Dia.

Allah. Sentuhan hidayah dari-Nya sungguh menenangkan. Diri yang dibelenggu jahiliyyah mula menampakkan sinar. Sinar dari sentuhan hidayah-Nya. Sinar Islam dalam diri. Memulakan gerak langkah dengan penuh yakin di hari-hari yang mendatang. Dia yang Maha Mengetahui saat kita mula lelah dan mencari semula kekuatan di dalam solat. Tangisan dalam doa. Memohon dikentalkan jiwa agar tidak terasa dengan kata-kata manusia. Dia beri kekuatan itu tika kita mula sedar sampai bila harus bersedih hanya kerana manusia yang tak menjamin apa-apa? Ya, Dia beri. Dia tahu kita mampu jadi disuntik semula kekuatan ke dalam diri.

Sayang-Nya yang tidak terbatas ke atas setiap hamba-Nya. Walau dosa kita tidak terkira, Dia masih mengampunkan kita jika kita bertaubat dan ingin kembali pada-Nya. Kerana apa? Kerana sayangnya Dia pada kita. Jadi kenapa dipersoalkan di mana Dia ketika kita bersedih sedangkan Dia sentiasa ada cuma kita yang tak berusaha? Jangan diragui seluas mana kemaafan-Nya kerana sudah terbukti Allah itu Maha Pengampun. Dan di saat kita menangis hiba di atas sejadah ketika mengadu pada-Nya, Dia ada. Dia saksi segalanya. Saksi bagaimana kita ketika tiada seorang pun melihat. Saat kita hampir mengalah dan hampir rebah, Dia tahu. Hakikatnya, Dia sememangnya sentiasa mengetahui terlebih dahulu. Dia menguji bukan untuk melemahkan sebaliknya menguatkan. Agar kita terus berpegang teguh pada-Nya.

Moga terus kuat untuk agama, terus kuat demi Allah. Pemilik segala-galanya yang setia mendengar setiap rintihan hati hamba-Nya. Alhamdulillah. Terima kasih, Allah. Tanpa redha-Nya, kita hidup namun bagaikan tidak bernyawa. Mari kembali. Kembali mengingati-Nya di kala senang mahupun susah. Dengan izin Allah, dapat dirasa tenang setiap masa.