Friday 28 June 2013

Apa kata mereka nanti?



                                                                 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih dipinjamkan dengan pelbagai limpahan nikmat dari-Nya. Alhamdulillah :)

Kadang dalam sibuk mengejar dunia, kita lelah. Penat mengejar dunia. Bagaikan tersedar kita sudah terlalu jauh dari Dia. Bagaimana mahu kembali? Adakah Allah akan terima taubatku? Takut Dia tak terima sebab dah banyak buat dosa. Rasa was-was tu kuat.

Lakukan taubat nasuha. Allah Maha Pengampun. Itu sahaja sudah membuktikan bahawa Dia pasti akan menerima taubat hamba-Nya yang bersungguh untuk mencari keampunan dari-Nya. Rasa was-was itu gangguan si syaitan yang tak pernah putus asa. Cukuplah kau bersangka baik pada Allah. Ya, itu sudah mencukupi.

Bagaimana dengan kawan-kawan nanti? Apa akan orang lain kata nanti? Apa yang mereka akan cakap dengan penghijrahan aku ini? Apa akan jadi kalau mereka jauhkan diri? Siapa yang nak jadi teman nanti? Kalau mereka kata 'bajet alim' macam mana? atau mereka akan gelar aku dengan panggilan ustaz mahupun ustazah? Susahnya.

Tak susah kalau ada usaha dalam diri dan tak akan susah kalau kau tak fikirkan sangat apa yang akan mereka kata . Jika mereka menjauh, biarkan. Jika dipanggil ustaz atau ustazah, amin kan. Masa ini lah kau akan kenal siapa kawan yang sebenar. Allah akan tunjuk. Ramai lagi yang boleh dibuat kawan. Boleh je cari kawan yang lain. Yang akan bersama dengan kau untuk menggapai syurga-Nya. Itu baru digelar sahabat dunia dan akhirat. Allah ada, jangan risau. Allah itu sudah mencukupi. Teman saat susah dan senang, saat suka dan duka, saat rebah dan bangkit semula. Yang menguji sebagai tanda cinta-Nya. Yang setia dan sentiasa mendengar keluh kesah, tangisan serta pengharapan setiap hamba-Nya.

Alhamdulillah, Allah sedarkan kau dari kelekaan kau dengan dunia. Alhamdulillah, Dia pilih kau. Moga berterusan. Jangan berhenti di pertengahan jalan. Ingatkan diri sendiri, syurga bukan untuk orang yang mudah putus asa. Allah tahu kau mampu. Kuatkan semangat. Nak syurga, kena usaha.

Tak perlu hiraukan pandangan manusia. Pandangan Allah itu yang utama. Memang susah nak puaskan hati semua orang. Apa guna kalau manusia sanjung kau mulia dan kau suka tetapi pada pandangan Allah, kau bukan siapa-siapa? Bagaimana kalau manusia bercakap mengenai kau dan kau bangga tetapi Rasulullah SAW tak kenal kau siapa? Hidup di dunia bukan untuk menempa nama sebaliknya untuk buat persediaan bagi kembali semula ke sana. Ke mana? Kampung kita. Akhirat. Syurga. Kejar akhirat kerana kita di dunia ni bukannya lama, bukan untuk hidup selamanya. Hakikatnya, saat kita meninggal dunia, saat itu lah bermula kehidupan kita yang sebenarnya. Kita diberi pilihan. Pilihan dengan usaha sendiri. Jadi, pilih. Dunia atau akhirat. Syurga atau neraka. Redha atau murka.

Wednesday 5 June 2013

Menangislah...



                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

 Assalamualaikum. Alhamdulillah untuk segala-galanya. Tidak terhitung nikmat yang dipinjamkan kepada kita walaupun dipinjamkan hanya untuk sementara.

Tangisan penyesalan, tanpa suara yang meruntun hati. Tangisan ingin kembali mencari sinar Islam dalam diri. Mencari erti kewujudan di muka bumi. Semuanya kau luahkan dan Dia menjadi pendengar setia. Kau lelah, kau meminta kekuatan daripada-Nya. Kau rebah, kau bangkit semula kerana Dia. Kau terluka dek kata-kata manusia, kau tetap mendoakan mereka.

Depan mereka, kau gembira tetapi dalam diam, kau terluka. Depan mereka, kau bertahan tetapi hakikatnya kau hampir rebah. Sebanyak mana hinaan kau terima, ingatlah Rasulullah SAW yang lebih banyak menerimanya namun beliau tidak pernah berputus asa. Biarkan apa orang nak kata. Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Jangan disebabkan kata-kata mereka, kau berhenti. Kejar redha Allah, bukan manusia.

Menangislah kerana sudah terlalu lama kuat. Menangislah untuk meluah rasa. Menangis yang bukan dibuat-buat. Menangis bukan untuk memohon simpati. Mohon. Jangan hipokrit. Buat kali ini, rendahkan ego. Rendahkan hati. Luahkan segalanya melalui tangisan. Air mata penyesalan yang mengalir mencuci kekotoran hati. Mengingati dosa-dosa yang lalu, kau menangis hiba. Biar kau kelihatan lemah di hadapan Tuhan kerana kita sememangnya hamba yang lemah dan tak punya apa-apa. Menangis untuk melepaskan perit di dada. Menangis untuk mengembalikan semula kekuatan dalam diri. 

Lepaskan. Redha dengan ketentuan-Nya. Lap sisa air mata. Bangkitlah semula. Dengan semangat yang baru. Semangat untuk meneruskan perjuangan dalam menggapai redha dan cinta Allah SWT. Biarlah bangkitmu kerana Allah semata-mata. Cukuplah Allah sebagai kekuatan dalam diri. Percaya sepenuhnya kepada Dia. Sudah terlalu lama bertahan, jangan mengeluh. Sudah begini jauh perjalanan, jangan berhenti. Pertolongan Allah sentiasa ada. Jangan kau paling semula ke lembah jahiliyyah itu. Cukuplah kesilapan dahulu. Teruskan melangkah.

Sunday 2 June 2013

Ukhuwah Fillah...



                                                                                                                    
Bismillahhirrahmanirrahim. Assalamualaikum :) Alhamdulillah kerana kita masih mampu untuk bersujud kepada-Nya. Mari gunakan kesempatan ini untuk memperbaiki dan mempersiapkan diri bagi hari yang telah dijanjikan-Nya, insyaAllah Ta'ala.

Sahabat itu saling menasihati. Tegur ketika salah. Tarik ketika rebah. Bersama memberi kekuatan. Bersama melalui jalan menuju redha Allah. Kawan biar dengan semua orang tetapi cari lah mereka yang betul-betul boleh digelar sahabat. Sahabat berada di sisi bukan sahaja ketika senang tetapi juga ketika susah. Sahabat yang memujuk untuk tabah dan yakin akan janji Allah ketika kamu lelah dengan ujian. Sahabat yang mengingatkan supaya mengadu pada Allah kerana Dia yang lebih memahami rasa hati.

Pastinya ada sahaja seorang rakan yang menikam belakang. Ya, ramai yang mempunyai rakan seperti ini. Lebih baik musuh yang terang-terangan membenci kita daripada mempunyai rakan yang baik di depan tetapi dalam diam menikam belakang. Seburuk mana pun dia, dia hadir sebagai ujian dari Allah untuk menguji keimanan kita kepada-Nya. Tanda Allah sayang tu. Biarlah dia terus burukkan jika itu yang dapat memuaskan hatinya, kita rugi ke? dapat pahala free lagi. Jangan mudah rebah. Diam bukan tanda mengalah.

Sahabat tidak datang hanya ketika dia ada masalah dan memerlukan seseorang untuk berkongsi rasa. Sahabat itu yang gembira apabila melihat kau bahagia. Dia rela berbuat apa sahaja untuk melihat kegembiraan yang terukir di wajah sahabatnya semula. Dia yang selalu mengingatkan sahabatnya akan Allah. Sahabat yang sentiasa mengingatkan kemanisan syurga ketika kau berasa seakan mahu mengalah dan sahabat yang mengingatkan akan pahitnya neraka ketika kau terasa mahu membuat sesuatu yang dilarang oleh Allah. Sahabat tidak hadir untuk menggalakkan lagi kau melakukan apa yang dibenci Allah.

Bersama-sama dalam mengharungi ujian Allah untuk menggapai syurga-Nya. Bersama mencari redha dan cinta Allah di sebalik setiap ujian yang menimpa. Dia yang memilih untuk menegur dan menarik semula ketika kau tersalah langkah dan bukannya dengan cara menjauhkan diri. Sahabat tidak cepat melatah apabila ditegur. Dia pastinya menerima teguran itu dan menjadikan salahnya sebagai pengajaran. Sahabat yang mengingatkan solat jika kau terleka dengan urusan dunia. MasyaAllah, ini lah yang seringkali disebut sebagai ukhuwah fillah. Persahabatan yang terjalin kerana Allah. Sahabat dunia dan akhirat. Indahnya persahabatan jika diletakkan Allah sebagai keutamaan bersama.