Friday 10 May 2013

Perginya seorang hamba Allah...

                         


Bismillahhirrahmanirrahim.. Assalamualaikum ya akhi wa ukhti :) syukur pada yang Maha Esa untuk segala apa yang kita ada pada hari ini walaupun semuanya pinjaman semata-mata.

09.05.2013, 9.15 pagi, hari Khamis malam Jumaat. Kembalinya seorang hamba kepada Pencipta kita. Terima kasih Allah kerana telah meminjamkan keluargaku dengan seorang insan yang hebat. Seorang insan yang melahirkan ayah aku ke dunia ini. Allahu.. Memang aku tidak rapat dengan arwah nenek tetapi pemergiannya meninggalkan kesan yang hebat pada diriku. Kesan yang mendalam. 

Sebelum arwah pergi menghadap Allah SWT, banyak petanda dia tinggalkan pada aku. Dia ada kata yang dia nampak arwah atuk melambai kepadanya dan terus pergi begitu sahaja. Aku tahu itu pasti tanda dari Allah. Saat dia renung muka aku, pandangannya sukar ditafsirkan. Penuh makna. Cuma aku hanya senyum membalas renungannya pada diriku. Semasa aku bersalaman dengannya, dia genggam tanganku erat. Aku hanya mampu tersenyum meyakinkan dirinya bahawa aku akan datang untuk melawatnya semula. Itulah kali terakhir aku berinteraksi dengan arwah. Sebelum dia meninggal, aku dan keluargaku sudah merancang untuk pergi melawatnya di hospital pada belah petang. Aku terlalu seronok dan aku sendiri tidak tahu mengapa. Tiba-tiba abang datang ke kelas dan menyatakan kepada cikgu bahawa kami mempunyai kes kecemasan. Aku cuak. Pasti ada kena mengena dengan nenek tetapi aku tenangkan hati. Bila ibu beritahu, hancur luluh perasaan aku. Saat itu aku terfikir juga bagaimana dengan ayah. Allah.. 

Saat dimandikan, dikafankan, tatap wajahnya kali terakhir, dikebumikan dan tangisan ayah. Semua bagaikan filem. Aku terlalu sebak melihat ayah yang menangis hiba sebelum dia mengelap sisa air matanya untuk mencium ibu yang melahirkan dan membesarkannya. Aku menangis sambil menekup mulut. Bila sebut pasal ayah, aku jadi lemah. Selepas mencium arwah, ayah memanggil aku. Aku mengelap air mata dengan tisu yang ayah gunakan untuk mengelap sisa air matanya. Aku pegang wajah suci arwah nenek. Cantik. Cantik sangat. Sejuk. Aku cium kedua-dua belah pipi dan dahinya. Aku masih dapat mengawal air mata ketika itu. Selesai aku mencium wajah arwah nenek, aku peluk ayah erat sambil menangis. Aku genggam kuat bajunya. Dia turut memeluk aku. Ayah menyalurkan kekuatan kepada aku sedangkan aku yang sepatutnya menyalurkan kekuatanku kepadanya. Dia terlalu tabah dan masih bersangka baik dengan Allah. Dia tenang mengangkat jenazah nenek bersama adik beradiknya yang lain. Dia tolong sama menggali kubur. 

Tiada siapa yang memberikan kata-kata semangat kepada ayah tetapi dia masih bertahan kerana dia yakin Allah bersamanya. Ujian ini memang terlalu berat bagiku namun aku yakin Allah tahu kami sekeluarga mampu untuk menghadapinya. Ayah menghadapi hari seterusnya dengan tabah. Semangat ayah membuatkan aku kagum. Alhamdulillah kerana Allah telah mengurniakan semangat baru kepada kami sekeluarga. Pemergian arwah nenek amat terkesan buat seluruh keluargaku dan jiran-jiran yang sudah kami anggap bagai satu keluarga. Semoga roh arwah nenek dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman, Allahhumma amiinn.