Saturday 6 July 2013

Ramadhan...




                                                              بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah. Jangan lupa untuk ucapkan syukur kerana tanpa izin-Nya, tidak mungkin kita masih mampu bergerak walau seinci pun pada hari ini. 

Ramadhan. 10 hari yang pertama adalah kerahmatan. 10 hari pertengahan adalah kemaafan. 10 hari yang terakhir adalah pelepasan dari azab api neraka.

Kehadirannya dinanti, perginya kan dirindui. Bulan yang membawa rahmat. Terdapat di dalamnya malam lailatul qadar. Dapat dirasa bersama bagaimana keadaan saudara seIslam yang terpaksa mengikat perut kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Bulan kesabaran. Sedang kesabaran itu balasannya ialah syurga. Mengajar kita supaya memupuk sifat istiqamah dan ikhlas dalam diri. Anugerah dari Allah sebagai kasih sayang-Nya terhadap setiap hamba-Nya. Tidak disia-siakan keletihan hamba-Nya berpuasa. 

Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup. Dari sahur sehingga waktu berbuka. Ummah yang berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala. Berusaha melawan nafsu memandangkan syaitan telah dirantai dalam neraka sana. Yang tidak menutup aurat, mula menutup auratnya. Yang kadang tinggal solat, mula menyempurnakan 5 waktu solatnya. Semua berusaha menjadi yang lebih baik dalam satu bulan dan moga ianya berterusan.

Setiap apa sahaja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu juga turut berganda walaupun syaitan dirantai oleh Allah. Kerana apa? Kerana nafsu telah bertapak dan bermaharajalela. Seringkali menyalahkan si syaitan dan si iblis yang menggoda dan menghasut di bulan biasa tetapi mengapa kesilapan yang sama berlaku ketika di bulan Ramadhan? Berpuasa bukan hanya berlapar sebaliknya berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi sebagai umat Islam.


Berpuasa bukan alasan untuk hanya berehat, goyang kaki semata-mata. Orang lain boleh je buat kerja berat walaupun sedang berpuasa, kenapa nak guna alasan 'penat, lapar, aku puasa' ketika disuruh buat kerja? Amboi, banyak songeh. Jangan nak lembik sangat. Baru berapa jam je puasa. Cer kuat sikit bukannya Allah suruh puasa tanpa berbuka. Didik diri. Solat terawih tu kalau boleh, jangan tinggal walaupun ianya sunat. 

Masa ni lah nak kutip pahala banyak-banyak. Tiada hasutan cuma yang ada hanya nafsu. Antara nak atau tak je. Bersama-sama kita menilai diri. Semoga amalan kita semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Kutip pahala sebanyak mungkin di bulan mulia ini. Andai sahaja Ramadhan pada tahun ini ialah Ramadhan terakhir kita, Allahu. Allahhumma balighna Ramadhan.

No comments:

Post a Comment