Monday 29 April 2013

Rasa cinta...




Bismillahhirrahmanirrahim... Assalamualaikum :) Alhamdulillah untuk semua yang kita miliki pada hari ini dan juga kesempatan hidup yang dipinjamkan untuk kita sama-sama beramal di bumi Allah.

Hati. Di saat Allah SWT mencintai seseorang, tempat pertama sentuhan cinta-Nya kepada hamba-Nya ialah hati. Kasihnya Dia kepada hamba-Nya. Di situlah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian digantikan dengan harapan dan keinginan untuk berubah. 

Banyakkan beristighfar. Beristighfar bukan kerana rasa cinta itu suatu dosa tetapi takut rasa yang fitrah itu bertukar menjadi fitnah. Apabila lebih banyak mengingati makhluk berbanding Allah SWT, bukankah rasa itu bertukar menjadi fitnah? Fitnah berkhayal itu sekiranya tidak dihadapi dengan mujahadah, ia akan merebak menjadi fitnah. Rasa cinta itu hadir tanpa diundang namun kita harus pandai mengawal rasa cinta itu daripada ianya terus mengawal diri kita. Kerana cinta, manusia sanggup berbuat apa-apa sahaja.

Couple? Budaya remaja zaman sekarang. Berapa kali mahu diulang bahawa hukum couple itu sendiri haram? Bercinta bagaikan tiada hari esok. Berpegangan tangan. Berlaga pipi. Keluar sama-sama. Kata-kata manis yang tidak lekang dari bibir. Panggilan bagaikan suami dan isteri. Dah tahu dosa tapi buat juga. Kaum hawa, sanggup kau merelakan diri buat si kekasih atas dasar cinta? Mengapa terlalu rendah kau meletakkan maruah? Di mana rasa malu? Tolong jangan rendahkan martabat kaum wanita.

Couple Islamik? Aik, ada pula istilah islamik. Couple tetap haram. Walaupun tidak keluar bersama, tidak berlaga pipi, tidak menggunakan panggilan seperti suami dan isteri, ulang sekali lagi couple itu tetap haram. Lebih elok bercinta sesudah sah, lagi bagus. Kalau dah rasa suka sangat kahwin je terus itu pun kalau sanggup galas tanggungjawab. Nikah bukan hanya mengenai cinta, ia juga mengenai tanggungjawab.

Kawal rasa cinta itu dengan doa supaya Allah menjagakan dia untuk kau. Jika ada jodoh, lari mana pun Allah SWT tetap akan satukan. Biar lah hanya Allah SWT yang mengerti perasaan diri. Rahsia di antara kau dan Allah SWT. Rahsia seorang hamba bersama sang Pencipta.

Sudah sempurna dan cukupkah cinta terhadap Allah SWT dan juga kekasih-Nya, Rasulullah SAW? Cintai Allah dan Rasulullah SAW dengan sepenuh hati pasti kau akan merasakan keindahan cinta yang sebenar-benarnya. Dia sudah pun menetapkan jodoh setiap manusia sejak kita berada di dalam kandungan ibu kita lagi jadi jangan terlalu bimbang dan sibuk untuk mencari pasangan sebelum tiba waktu yang sesuai. Belajar lah untuk mencintai Allah SWT dan cari lah cinta-Nya dahulu sebelum mencari cinta makhluk yang juga dicipta oleh-Nya. Luahkan perasaan hanya pada Dia kerana Dia lebih mengerti apa yang sedang kita rasakan.


Friday 5 April 2013

Kembalinya seorang hamba...






Bismillahhirrahmanirrahim... Assalamualaikum :) Alhamdulillah masih diberi peluang untuk mendalami Islam dan cuba menyampaikan keindahan Islam.

Kita leka. Leka dengan keseronokan dunia yang membutakan mata hati. Terlupa adanya Dia sebagai pemerhati. Terlupa adanya pengawal di sisi. Di mana kita letak kedudukan Allah di hati? 


Di dalam sebuah Hadis Qudsi, diceritakan bahawa apabila seorang hamba berdoa disertai dengan tangisan maka Allah akan memberitahu dan menyuruh malaikat untuk menangguhkan permintaannya. Kerana apa? Kerana kata Allah, Allah rindu pada pengaduan yang bersungguh-sungguh seperti itu.


Allah Hu Akbar. Begitu besar kasih sayang Allah pada kita. Walau berdosa bagaimana sekalipun, Allah Maha Pengampun. Taubat sungguh-sungguh. Luahkan rasa hati kepada Dia yang setia mendengar.Kembalilah hati untuk sentiasa berzikir mengingati-Nya. Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan setiap hamba-Nya. Sebesar-besar kemurkaan Allah, lebih besar lagi kasih sayang-Nya. Menangis lah dalam rintihan jika itu yang mampu membuatkan kau berasa lega setelah meluahkan pada Dia. Ucapkan syukur kepada-Nya. Hanya Allah yang setia menemani dalam apa jua keadaan diri.


Allah SWT berfirman, "Aku sesuai dengan dugaan hambaKu kepadaKu dan Aku bersama dengannya ketika dia ingat kepadaKu dalam hatinya, Aku juga akan mengingatinya. Dan jika dia ingat kepadaKu dalam lingkungan khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika dia mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku mendekatinya dengan berlari." (Hadis Riwayat Syaikhani dan Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)


Pasti taubat diterima jika dilakukan dengan sepenuh hati kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dari saat kita bangun tidur sehinggalah kita melelapkan mata pada malam hari, kita sebenarnya dilimpahi dengan nikmat serta kasih sayang Allah, itulah yang seringkali kita lupa. Kita hamba jadi atas alasan apa perlu kita lupa kepada Allah yang memerintah seluruh pelosok dunia? Kembalilah mencari sinar Islam. Kembalilah mencari redha Allah. Perbanyakkan saham akhirat. Sebarkan keindahan Islam di mata seluruh manusia tidak kira di mana jua kita berada, bawa Islam bersama.