Friday 5 July 2013

Dia, Pencipta Semesta...



                                                              بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Assalamualaikum yang sedang membaca :) Alhamdulillah, alhamdulillah. Sehingga ke hari ini, kita masih dapat peluang memperbaiki diri. Sama-sama kita baiki hati juga iman dalam diri.

Dia , Pencipta Semesta. Sentiasa memerhati. Melihat gerak geri hamba-Nya. Tak pernah dibiarkan hamba-Nya sedetik pun tanpa pengawasan. Dirakam segala perlakuan setiap manusia. Sama ada baik atau sebaliknya. Akan dipapar pada hari akhirat, itu janji-Nya.

Dia yang sentiasa bersama kita walau apa jua keadaan. Setiap masa dan ketika. Walau diri penuh dengan dosa dan noda, Dia tetap bersama. Tidak pernah berkira tapi kita? Kadang hanya mendekat bila ujian menimpa. Tapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kita masih ada rasa. Rasa untuk kembali pada-Nya dan rasa itu datang juga daripada-Nya. Cuma perlu perbetulkan semula. Mencari Dia bukan hanya ketika susah, setiap masa perlu ada rasa untuk mendekati-Nya. Peringatan kadang datang tanpa kita sedar. Diberi ujian ketika kita mula menjauh dari-Nya, itu peringatan khas dari-Nya. Untuk apa ujian itu? Untuk merapatkan lagi hubungan kita dengan Dia.

Allah. Sentuhan hidayah dari-Nya sungguh menenangkan. Diri yang dibelenggu jahiliyyah mula menampakkan sinar. Sinar dari sentuhan hidayah-Nya. Sinar Islam dalam diri. Memulakan gerak langkah dengan penuh yakin di hari-hari yang mendatang. Dia yang Maha Mengetahui saat kita mula lelah dan mencari semula kekuatan di dalam solat. Tangisan dalam doa. Memohon dikentalkan jiwa agar tidak terasa dengan kata-kata manusia. Dia beri kekuatan itu tika kita mula sedar sampai bila harus bersedih hanya kerana manusia yang tak menjamin apa-apa? Ya, Dia beri. Dia tahu kita mampu jadi disuntik semula kekuatan ke dalam diri.

Sayang-Nya yang tidak terbatas ke atas setiap hamba-Nya. Walau dosa kita tidak terkira, Dia masih mengampunkan kita jika kita bertaubat dan ingin kembali pada-Nya. Kerana apa? Kerana sayangnya Dia pada kita. Jadi kenapa dipersoalkan di mana Dia ketika kita bersedih sedangkan Dia sentiasa ada cuma kita yang tak berusaha? Jangan diragui seluas mana kemaafan-Nya kerana sudah terbukti Allah itu Maha Pengampun. Dan di saat kita menangis hiba di atas sejadah ketika mengadu pada-Nya, Dia ada. Dia saksi segalanya. Saksi bagaimana kita ketika tiada seorang pun melihat. Saat kita hampir mengalah dan hampir rebah, Dia tahu. Hakikatnya, Dia sememangnya sentiasa mengetahui terlebih dahulu. Dia menguji bukan untuk melemahkan sebaliknya menguatkan. Agar kita terus berpegang teguh pada-Nya.

Moga terus kuat untuk agama, terus kuat demi Allah. Pemilik segala-galanya yang setia mendengar setiap rintihan hati hamba-Nya. Alhamdulillah. Terima kasih, Allah. Tanpa redha-Nya, kita hidup namun bagaikan tidak bernyawa. Mari kembali. Kembali mengingati-Nya di kala senang mahupun susah. Dengan izin Allah, dapat dirasa tenang setiap masa.

No comments:

Post a Comment