Thursday 22 August 2013

Labuh tudung ini...



                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Syukur atas segalanya. Tidak terkira nikmat yang dipinjamkan Dia. Terlalu banyak. Alhamdulillah.

Cerita yang nak dimulakan ni memang berlaku pada diri aku sendiri. Moga yang di luar sana hentikan pandangan sinis terhadap perempuan yang bertudung labuh. Jika ada silap, bukan dari tudung labuh yang dipakai tetapi dari si pemakai. Manusia, kata tak sempurna kan. Mengapa perlu rebah sedangkan penguat itu adalah Allah. Bagaimana kata-kata mereka mampu membuatkan kita mengalah sedangkan kita masih punya Allah.

Buat semua,

Labuh tudung ini bukan menandakan ilmu aku lebih tinggi.
Bukan untuk membangga diri.
Bukan untuk mendabik dada, berjalan dengan bangga.
Bukan untuk dianggap baik mahupun alim di mata manusia.
Bukan.

Cukup dan hentikan semua prasangka.
Labuh tudung ini buat meraih redha Ilahi.
Buat melindungi diri, menjaga diri.
Mengingatkan supaya menjaga tiap gerak geri.
Buat tiada mata lelaki yang memerhati.
Menutup dada dengan sempurna.
Mengikut peraturan Allah, bukan dunia.

Biar dikata.
Biar dihina.
Biar dikeji.
Allah sentiasa ada di sisi.
Senyum.

Yang diperlukan itu bukan redha mereka.
Cukup hanya redha Dia.
Dunia akhirat bahagia.
InsyaAllah.
Segalanya dengan izin-Nya.

Friday 2 August 2013

Ibu, ayah.. Cinta hati sampai mati...




                                                           بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah kerana kita masih diberi peluang untuk menambahkan amalan buat bekalan untuk berjumpa dengan Tuhan. Syukur.

Ibu. Ayah. Sering mengingatkan supaya jaga hubungan dengan Tuhan. Biar berjaya dunia dan akhirat. Wajah ibu yang berseri gembira. Wajah ayah yang tersenyum bangga. Aku perhati. Dua kekasih hati yang disayangi. Bagaimana jika mereka tinggalkan aku nanti? Bagaimana jika mereka pergi menghadap Ilahi dulu sebelum diri ini? Adakah aku redha dengan pemergian mereka di suatu hari yang pasti?

Redha. Mungkin di mulut aku mengaku tetapi bagaimana dengan hati? Di saat perlukan kekuatan, mereka setia menghulur tangan. Untuk bangkit dari kejatuhan. Untuk terus menyambung perjuangan dalam mencari redha Tuhan. Bukan sekarang. Dan bukan juga di masa yang akan datang. Tak bersedia. Hakikatnya, takkan pernah bersedia. Biar aku pergi dulu jika boleh mengganti tempat mereka. Namun, sia-sia. Aku tahu takkan pernah dapat mengganti tempat sesiapa pun buat menyahut seruan Ilahi.

Wajah ibu ditatap lama. Sayang. Sayang teramat. Yang berkorban segalanya, buat anak tercinta. Yang setia mendoakan kejayaan anaknya tanpa dipinta. Yang kadang terguris namun tidak di cerita. Kerana apa? Sayang. Atas dasar sayang. Hadir anaknya anugerah Tuhan selama 9 bulan dalam kandungan, dia bersyukur. Dia yang paling gembira. Tidak sabar menyambut anak yang dinanti dari kandungannya sendiri. Dan bila tiba saat melahirkan, dia kuat. Dia tetap memilih untuk melahirkan walau sakitnya bagai menghampiri kematian. Penat. Lelah. Namun, dia masih mampu tersenyum mendengar tangisan bayi yang baru dilahirkan ke bumi. Menatap wajah suci anaknya sendiri, memori terindah. Dijaga dengan penuh teliti. Sehingga besar, kasih sayangnya tidak pernah berubah. Hati yang kadang terguris dengan kata-kata mahupun sikap anak tercinta, tidak diendahkan. Di atas tikar sejadah, dia mendoakan anaknya. Dia menangis. Memohon dengan bersungguh-sungguh. Biar terguris teruk mana sekalipun, dia rela. Dengan kebahagiaan anaknya, itulah kebahagiaannya.

Ayah. Lelaki yang hebat. Lelaki yang jarang mengungkap kata sayang pada anaknya namun jauh di sudut hati, tidak terungkap bagaimana sayangnya dia terhadap anaknya. Dia yang menggalas tanggungjawab besar dalam keluarga. Lelaki yang tampak gagah di hadapan mata. Hakikatnya, dia juga manusia. Seusai solat, pasti dia menadah tangan untuk meminta dari Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Lama. Linangan air mata yang membasahi pipi. Dia menangis. Memohon kekuatan dari Tuhan. Dia kuat kerana dia mahu isterinya juga anaknya kuat. Dia tidak tunjuk kesedihannya, kesakitannya. Dia rela menanggung sendiri. Dia perlu kuat. Untuk itu, dia hanya menangis di hadapan Tuhan. Kerana dia tahu Tuhan lebih mengerti apa yang dirasai. Setiap hari, anak juga disebut dalam doanya yang panjang. Dia tidak minta apa, cuma minta agar anaknya berjaya dunia dan akhirat. Bila dia kecewa, bila dia terguris atas sikap anaknya, dia memilih untuk diam. Tidak secuit pun rasa kasih hilang dari dalam hati. Tetap ada di sanubari. Dia harap, anaknya sedar akan kasih sayang dia juga isterinya yang tidak akan pernah berubah.

Allah. Tuhan. Rabb. Beri aku kekuatan. Jika tiba hari itu, yakinkan aku dengan ketentuan-Mu. Jika aku pergi dulu, tabahkan hati ayah serta ibu. Hanya bergantung pada-Mu. Menanti saat dijemput oleh malaikat, atas suruhan-Mu. Sama ada dengan cara lembut mahupun kasar, hanya Engkau yang tahu. Ibu, ayah. Cinta hati sampai mati.