Monday 21 March 2016

Semangat Aliran Sastera...

           

                                                       بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum. Alhamdulillah untuk kesempatan yang diberikan-Nya bagi memperbaiki diri. Syukur untuk segala nikmat, sama ada melibatkan harta atau nyawa. Moga tiap nafas tidak sia-sia sementara diberi masa sebelum diri kembali pada Yang Maha Esa.

Bila orang tanya aku ambil aliran apa untuk tingkatan 4 dan 5, aku bangga jawab aliran sastera. Ada yang balas,

"Susah bila dah keluar sekolah nanti"
"Susah nak masuk universiti"
"Masa depan tak menentu"

Pada mulanya aku diterima masuk ke kelas sains tulen tapi dalam masa seminggu belajar aku mula was-was dengan pilihan aku sebab aku tak minat subjek addmaths dan fizik, baca buku banyak kali pun paksa banyak kali pun tak masuk, lalu aku nekad minta tukar kelas sastera. Nak minta akaun memang aku tak minat kira-kira jadi aku tercampak la ke kelas belakang. Memang hebat tentangan aku dapat, daripada keluarga dan cikgu. Nak cakap orang yang sokong aku waktu tu boleh kira dengan jari, itu pun sahabat dunia akhirat aku. Aku lemah sangat waktu tu sebab ramai tak setuju sampai lah sahabat aku cakap,

"Kalau kau tak boleh bawak sains, jangan paksa diri. Ikut minat kau, usaha sungguh-sungguh dan kau buktikan kat semua orang yang budak sastera pun boleh berjaya."

Aku suka sejarah dan cita-cita aku waktu tu nak jadi peguam syariah jadi aku terfikir tak rugi kalau aku tak ambil sains tulen sebab syarat nak mohon undang-undang tak melibatkan subjek sains tulen. Setelah fikir masak-masak dan habis tawakkal, aku ceburi alam sastera. Nak masuk sastera kena habis fikir sebab pilihan terhad di universiti walaupun straight A. Bagi sekolah aku, subjek tambahan sastera ialah perdagangan, seni dan tasawwur islam. Nak cakap senang, pelajaran apa je yang senang kalau takde usaha. 

Aku tak berapa minat seni tapi takat lukis-lukis, apa la sangat kan. Bila dah belajar, susah sikit la sebab ada folio dan soalan objektif, nak tak nak memang kena baca buku juga. Kalau kau rajin, folio tu senang-senang boleh dapat A. Pasal baca buku tu, aku baca waktu peperiksaan sekolah je. Bila spm, aku pasrah sebab waktu tu gap masa dekat dengan subjek sains jadi aku ulangkaji subjek sains. Alhamdulillah nasib baik dapat soalan yang tak susah mana, bab fakta memang tembak je la. Keputusan tembak punya pasal, seni aku dapat B+. Bab yang ni jangan contohi, sila la baca buku seni tu walaupun tebal. 

Perdagangan ni aku paksa diri untuk minat. Banyak belajar pasal perniagaan, dalam dan luar negara. Tingkatan 4 punya syllabus senang faham, masuk tingkatan 5 memang mencabar syllabus dia. Apa pun, perdagangan ni banyak memerlukan kefahaman, kalau kau faham senang ingat tapi kalau tak faham memang kena hafal je la. Cuba fahamkan sebab jadi best bila betul faham. Ada dua tiga je soalan kira-kira. Nak tak nak, kena tanam minat walaupun sikit sebab kalau tak minat, kau push macam mana pun memang susah nak masuk waktu ulangkaji. 

Ini cara nak handle perdagangan atau seni kalau kau tak minat salah satu tu. Nak yang lagi senang memang tak dapat la. Cuba, usaha. Banyakkan latihan dan rajinkan diri bertanya kalau tak faham. Masuk tingkatan 4 bukan untuk chill rilek dulu, waktu ni kau kena bertungkus lumus belajar. Cover semua bab setiap pelajaran tingkatan 4 sebelum masuk tingkatan 5. Percaya lah kau akan menyesal kalau baru nak mula usaha bila masuk tingkatan 5, lagi la subjek sejarah yang memang wajib lulus tu. Bila dah cover semua bab atau sekurang-kurangnya setengah bab untuk setiap subjek tingkatan 4, masuk tingkatan 5 nanti kau dapat la jugak tarik nafas lega dan mula fokus untuk syllabus tingkatan 5. Rajinkan diri bangun pagi, solat sunat dan belajar. Waktu ni memang rasa tenang dan ilmu senang masuk. Setakat makan ubat minda, teguk air zam zam, telan kismis, kalau takde usaha pun tak ke mana.

Rezeki tu Allah pegang. Campak la kat mana pun, Allah dah tetapkan rezeki. Budak sains tulen ke akaun ke, tak semua berjaya kalau takde usaha. Sama juga sastera. Orang pandang sastera senang, budak sastera malas. Sedangkan banyak budak sastera yang berjaya. Sastera sama dengan kelas lain, ada subjek susah dan senang. Bukan semua senang. Bergantung pada usaha masing-masing. Aku tak kesah orang pandang aku budak takde masa depan. Aku duduk kelas bawah, aku belajar rendah diri sebab hidup tak selalu di bawah. Asal jiwa percaya pada Allah. Pokok pangkalnya, aliran apa tak menentukan rezeki manusia tapi usaha dan redha Allah yang utama.

Alhamdulillah. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Teguhnya aku berdiri hari ini membuktikan budak sastera boleh berjaya. Aku memperoleh 8A 1B. Bila fikir sayang seni tu B tapi padan muka sendiri la sebab tak baca buku. Kot aku dapat straight A pun mana tahu nanti jadi riak ke apa, sangka baik dengan Allah. Lagipun kalau Dia nak bagi, Dia bagi. Keputusan ni pun harap ihsan doa ibu ayah, cikgu, sahabat dunia akhirat. Allah yang bagi, apa la sangat nak harap usaha sendiri.

Aku berpegang pada prinsip "Allah takkan bantu hamba-Nya yang tak berusaha untuk membantu dirinya sendiri.". Nasihat aku, usaha sehabis daya. Dengar cakap ibu ayah, minta mereka doakan. Solat jangan tinggal, ada masa lapang rajinkan diri buat solat sunat. Doa habis-habisan, rebut peluang waktu doa mustajab contohnya masa hujan, sepertiga malam, waktu sujud terakhir. Mohon jangan ponteng atau mudah terikut kawan. Habis je spm atau masa tengah tunggu keputusan tu, tawakkal. Serahkan semua pada Allah sebab kau dah usaha sehabis mampu. Apa pun keputusan, terima dengan hati terbuka sebab Allah tahu apa yang terbaik. Kalau bukan rezeki di sekolah menengah, mana tahu dapat dekan di universiti nanti. Asalkan jangan putus asa dan teruskan lagi usaha. Allah tengok usaha, bukan hasil.

Man Jadda Wajada. Sesiapa yang berusaha (insyaAllah) akan mendapat apa yang diusahakannya.

Tidak mungkin disia-siakan setiap usaha hamba-Nya, maka percaya lah bahawa setiap ketentuan tersembunyi hikmah dari Tuhan. Moga Allah kurniakan kalian kejayaan serta kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

No comments:

Post a Comment