Thursday 18 December 2014

Hati...

                                           

                                                             بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ   

Assalamualaikum. Alhamdulillah atas kesempatan yang diberikan oleh-Nya, kita masih mampu bernafas. Alhamdulillah masih dipinjamkan nikmat untuk meneruskan kehidupan.

Hidup mati seorang insan adalah untuk Allah. Maka sedarnya aku akan tujuan hidup sebenar sebagai hamba, aku cuba menggunakan peluang diberikan sebaiknya. Paling susah nak jaga adalah hati. Hati yang rapuh, yang tidak terkira berapa banyak lukanya. Aku percaya setiap manusia pasti punya hati yang sudah lali dengan kesakitan. Kebanyakan remaja yang masih dalam proses mengenali dunia, mendambakan hati mereka dijaga oleh manusia sekeliling. Menginginkan sahabat yang sanggup mendengar segala luahan hatinya. Merungut kerana hanya dirinya yang terpaksa menjaga hati setiap sahabatnya namun bagaimana dengan hatinya?

Kerana aku pernah merasakan yang sama maka aku faham bagaimana rasa bila dipinggirkan, ditikam, dihina, dikutuk, dipermainkan. Aku sedar tujuan diletakkan aku di dunia adalah untuk diuji. Pangkal segalanya, aku bakal kembali kepada Allah Yang Maha Esa. Maka mengapa perlu aku peduli hati yang rapuh dek kata-kata manusia? Mengapa aku sering mengeluh menginginkan manusia menjaga hatiku? Aku sedar bahawa hati hanya perlu diserahkan pada-Nya. Kerana Dia adalah sebaik-baik Penjaga. Pernah sekali sahabat ku bertanya,

"Kadang-kadang aku pelik dengan kau. Orang dah buang kau tapi kau terhegeh nak kawan dengan dia balik. Kalau aku, sekali dah kena tikam memang serik nak cari kawan lagi. Kau ni dah kena tikam banyak kali tapi kau masih nak berbaik dengan orang tu padahal ramai lagi nak kawan dengan kau."

Aku mengaku aku mudah buat kawan dan mudah sayang kawan perempuan. Tak kesah umur berapa sekalipun. Sampai aku kena tinggal tanpa khabar berita, sampai aku kena pulau, sampai aku kena tikam. Aku tak nampak semua tu. Aku cuba perbaiki semua, aku cuba jaga hati semua manusia. Sebab aku tahu sakitnya jika mereka juga merasai apa yang aku rasa. Biar aku mengalah dengan membiarkan hatiku dipijak berulang kali, dengan membiarkan manusia datang silih berganti.

Catatan ini bukan nak menyatakan aku baik, jauh sekali kuat. Catatan ini supaya aku dapat menenangkan diri di saat kesedihan. Apabila aku pandang manusia sekeliling, aku tahu bermacam ujian dihadapi mereka sebalik senyuman yang menutup segala duka. Kekuatan aku untuk kutip balik sisa hati aku dan untuk membahagiakan orang lain, datangnya daripada Allah.

Pesan aku, jangan terlalu berharap kepada manusia kerana kau bakal kecewa. Tabahkan hati dan teruskan kehidupan. Setiap ujian datangnya dengan penyelesaian. Setiap kesedihan disusuli dengan kebahagiaan. Sabar itu payah namun ganjarannya syurga. Minta Allah jagakan hati, minta Allah permudahkan jalan. Pegang dengan janji Allah maka kau akan bahagia dunia dan akhirat, insyaAllah aamiin. Moga Allah redha dengan kebahagiaan setiap manusia di sekelilingku.

No comments:

Post a Comment