Monday 10 March 2014

Hikmah Sebalik Kehilangan MH370...

                           
                                                 
                                                             بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ   

Assalamualaikum. Alhamdulillah kerana masih diberi peluang untuk meningkatkan pahala sebelum kembali semula kepada-Nya. Alhamdulillah untuk segalanya.

Di sebalik kehilangan pesawat MAS MH370, aku dapat simpulkan hikmah-hikmah indah yang Allah cuba sampaikan. Kehilangan pesawat tersebut daripada radar yang menggemparkan dunia, sehingga sekarang masih belum dijumpai buat seluruh dunia masih tertanya-tanya bagaimana keadaan sebenarnya.

Pada pendapat aku, Allah 'sorok' dulu pesawat MH370 dalam tempoh tertentu yang hanya Dia Maha Mengetahui. Kerana apa? kerana mungkin Allah rindu. Rindu melihat hamba-Nya yang dulu selalu bersatu padu kian berpecah belah atas sebab remeh seperti politik. Rindu rintihan pengharapan setiap hamba-Nya. Maka Dia hadirkan ujian ini untuk menyatukan kita kembali walau bersatu hanya dalam doa.

Mungkin juga berupa peringatan. Sehebat mana sekalipun, canggih mana sekalipun, tetap ciptaan manusia takkan tertanding dengan ciptaan-Nya. Sebijak mana sekalipun manusia, akal tetap terbatas dan kebijaksanaan itu tetap datang daripada Pencipta semesta.

Allah nak kita sedar. Allah satukan kita semua dalam doa.

Senjata hebat kita hanya doa. Doa yang terus dihubungkan kepada Allah tanpa ada halangan. Doa yang menyatukan tiap hati menjadi satu dalam menghadapi ujian Ilahi. Doa yang sarat dengan pengharapan juga tangisan. Sama ada Islam atau bukan Islam, doa tetap ada.

Pelik bagaimana kebanyakan kita yang tiada kaitan darah dengan penumpang, anak kapal mahupun pilot itu sendiri dapat merasakan pilu dan kehilangan yang mendalam. Walau tiada kaitan darah, kita tetap satu keluarga. Itu juga diterapkan dalam Islam. Kerana kita semua bersaudara, susah senang terasa bersama. Ikatan Islam turut mengajar kita menjaga hubungan sesama manusia walau dengan mereka yang bukan Muslim. Alhamdulillah, lahir sebagai seorang Muslim adalah rahmat terbesar dalam hidup.

Cantik kan perancangan Allah? teratur dan indah. Mungkin kerana kita terlalu leka, sibuk dengan dunia sehingga jarang punya masa untuk berfikir mengenai betapa hebat kekuasaan-Nya maka Allah hadirkan ujian sebegini untuk kita duduk dan berfikir.

Teruskan berdoa. Harapan masih ada selagi kita bergantung harap hanya pada Dia. Percaya. Allah tidak pernah mengecewakan hati setiap hamba-Nya. Segala yang ditakdirkan oleh Allah, punya hikmah. Cepat atau lambat, kita sendiri akan sedar hikmah sebalik setiap ujian. Segala keputusan, serah pada Allah. Kita cuma mampu usaha dan doa. Moga kita sentiasa bersatu begini selepas Allah tunjukkan semula bagaimana keadaan sebenar pesawat MH370 itu nanti.

MH370, pulanglah.
Rabb, dengarlah.

                                                 

No comments:

Post a Comment