Wednesday 5 June 2013

Menangislah...



                                                                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

 Assalamualaikum. Alhamdulillah untuk segala-galanya. Tidak terhitung nikmat yang dipinjamkan kepada kita walaupun dipinjamkan hanya untuk sementara.

Tangisan penyesalan, tanpa suara yang meruntun hati. Tangisan ingin kembali mencari sinar Islam dalam diri. Mencari erti kewujudan di muka bumi. Semuanya kau luahkan dan Dia menjadi pendengar setia. Kau lelah, kau meminta kekuatan daripada-Nya. Kau rebah, kau bangkit semula kerana Dia. Kau terluka dek kata-kata manusia, kau tetap mendoakan mereka.

Depan mereka, kau gembira tetapi dalam diam, kau terluka. Depan mereka, kau bertahan tetapi hakikatnya kau hampir rebah. Sebanyak mana hinaan kau terima, ingatlah Rasulullah SAW yang lebih banyak menerimanya namun beliau tidak pernah berputus asa. Biarkan apa orang nak kata. Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Jangan disebabkan kata-kata mereka, kau berhenti. Kejar redha Allah, bukan manusia.

Menangislah kerana sudah terlalu lama kuat. Menangislah untuk meluah rasa. Menangis yang bukan dibuat-buat. Menangis bukan untuk memohon simpati. Mohon. Jangan hipokrit. Buat kali ini, rendahkan ego. Rendahkan hati. Luahkan segalanya melalui tangisan. Air mata penyesalan yang mengalir mencuci kekotoran hati. Mengingati dosa-dosa yang lalu, kau menangis hiba. Biar kau kelihatan lemah di hadapan Tuhan kerana kita sememangnya hamba yang lemah dan tak punya apa-apa. Menangis untuk melepaskan perit di dada. Menangis untuk mengembalikan semula kekuatan dalam diri. 

Lepaskan. Redha dengan ketentuan-Nya. Lap sisa air mata. Bangkitlah semula. Dengan semangat yang baru. Semangat untuk meneruskan perjuangan dalam menggapai redha dan cinta Allah SWT. Biarlah bangkitmu kerana Allah semata-mata. Cukuplah Allah sebagai kekuatan dalam diri. Percaya sepenuhnya kepada Dia. Sudah terlalu lama bertahan, jangan mengeluh. Sudah begini jauh perjalanan, jangan berhenti. Pertolongan Allah sentiasa ada. Jangan kau paling semula ke lembah jahiliyyah itu. Cukuplah kesilapan dahulu. Teruskan melangkah.

No comments:

Post a Comment