Allah lebih mengetahui jalan hidup kita. Pandanglah ke langit dan senyum. Semoga kau sentiasa berada dalam dakapan cinta-Nya.
Friday, 10 May 2013
Perginya seorang hamba Allah...
Bismillahhirrahmanirrahim.. Assalamualaikum ya akhi wa ukhti :) syukur pada yang Maha Esa untuk segala apa yang kita ada pada hari ini walaupun semuanya pinjaman semata-mata.
09.05.2013, 9.15 pagi, hari Khamis malam Jumaat. Kembalinya seorang hamba kepada Pencipta kita. Terima kasih Allah kerana telah meminjamkan keluargaku dengan seorang insan yang hebat. Seorang insan yang melahirkan ayah aku ke dunia ini. Allahu.. Memang aku tidak rapat dengan arwah nenek tetapi pemergiannya meninggalkan kesan yang hebat pada diriku. Kesan yang mendalam.
Sebelum arwah pergi menghadap Allah SWT, banyak petanda dia tinggalkan pada aku. Dia ada kata yang dia nampak arwah atuk melambai kepadanya dan terus pergi begitu sahaja. Aku tahu itu pasti tanda dari Allah. Saat dia renung muka aku, pandangannya sukar ditafsirkan. Penuh makna. Cuma aku hanya senyum membalas renungannya pada diriku. Semasa aku bersalaman dengannya, dia genggam tanganku erat. Aku hanya mampu tersenyum meyakinkan dirinya bahawa aku akan datang untuk melawatnya semula. Itulah kali terakhir aku berinteraksi dengan arwah. Sebelum dia meninggal, aku dan keluargaku sudah merancang untuk pergi melawatnya di hospital pada belah petang. Aku terlalu seronok dan aku sendiri tidak tahu mengapa. Tiba-tiba abang datang ke kelas dan menyatakan kepada cikgu bahawa kami mempunyai kes kecemasan. Aku cuak. Pasti ada kena mengena dengan nenek tetapi aku tenangkan hati. Bila ibu beritahu, hancur luluh perasaan aku. Saat itu aku terfikir juga bagaimana dengan ayah. Allah..
Saat dimandikan, dikafankan, tatap wajahnya kali terakhir, dikebumikan dan tangisan ayah. Semua bagaikan filem. Aku terlalu sebak melihat ayah yang menangis hiba sebelum dia mengelap sisa air matanya untuk mencium ibu yang melahirkan dan membesarkannya. Aku menangis sambil menekup mulut. Bila sebut pasal ayah, aku jadi lemah. Selepas mencium arwah, ayah memanggil aku. Aku mengelap air mata dengan tisu yang ayah gunakan untuk mengelap sisa air matanya. Aku pegang wajah suci arwah nenek. Cantik. Cantik sangat. Sejuk. Aku cium kedua-dua belah pipi dan dahinya. Aku masih dapat mengawal air mata ketika itu. Selesai aku mencium wajah arwah nenek, aku peluk ayah erat sambil menangis. Aku genggam kuat bajunya. Dia turut memeluk aku. Ayah menyalurkan kekuatan kepada aku sedangkan aku yang sepatutnya menyalurkan kekuatanku kepadanya. Dia terlalu tabah dan masih bersangka baik dengan Allah. Dia tenang mengangkat jenazah nenek bersama adik beradiknya yang lain. Dia tolong sama menggali kubur.
Tiada siapa yang memberikan kata-kata semangat kepada ayah tetapi dia masih bertahan kerana dia yakin Allah bersamanya. Ujian ini memang terlalu berat bagiku namun aku yakin Allah tahu kami sekeluarga mampu untuk menghadapinya. Ayah menghadapi hari seterusnya dengan tabah. Semangat ayah membuatkan aku kagum. Alhamdulillah kerana Allah telah mengurniakan semangat baru kepada kami sekeluarga. Pemergian arwah nenek amat terkesan buat seluruh keluargaku dan jiran-jiran yang sudah kami anggap bagai satu keluarga. Semoga roh arwah nenek dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman, Allahhumma amiinn.
Monday, 29 April 2013
Rasa cinta...
Bismillahhirrahmanirrahim... Assalamualaikum :) Alhamdulillah untuk semua yang kita miliki pada hari ini dan juga kesempatan hidup yang dipinjamkan untuk kita sama-sama beramal di bumi Allah.
Hati. Di saat Allah SWT mencintai seseorang, tempat pertama sentuhan cinta-Nya kepada hamba-Nya ialah hati. Kasihnya Dia kepada hamba-Nya. Di situlah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian digantikan dengan harapan dan keinginan untuk berubah.
Banyakkan beristighfar. Beristighfar bukan kerana rasa cinta itu suatu dosa tetapi takut rasa yang fitrah itu bertukar menjadi fitnah. Apabila lebih banyak mengingati makhluk berbanding Allah SWT, bukankah rasa itu bertukar menjadi fitnah? Fitnah berkhayal itu sekiranya tidak dihadapi dengan mujahadah, ia akan merebak menjadi fitnah. Rasa cinta itu hadir tanpa diundang namun kita harus pandai mengawal rasa cinta itu daripada ianya terus mengawal diri kita. Kerana cinta, manusia sanggup berbuat apa-apa sahaja.
Couple? Budaya remaja zaman sekarang. Berapa kali mahu diulang bahawa hukum couple itu sendiri haram? Bercinta bagaikan tiada hari esok. Berpegangan tangan. Berlaga pipi. Keluar sama-sama. Kata-kata manis yang tidak lekang dari bibir. Panggilan bagaikan suami dan isteri. Dah tahu dosa tapi buat juga. Kaum hawa, sanggup kau merelakan diri buat si kekasih atas dasar cinta? Mengapa terlalu rendah kau meletakkan maruah? Di mana rasa malu? Tolong jangan rendahkan martabat kaum wanita.
Couple Islamik? Aik, ada pula istilah islamik. Couple tetap haram. Walaupun tidak keluar bersama, tidak berlaga pipi, tidak menggunakan panggilan seperti suami dan isteri, ulang sekali lagi couple itu tetap haram. Lebih elok bercinta sesudah sah, lagi bagus. Kalau dah rasa suka sangat kahwin je terus itu pun kalau sanggup galas tanggungjawab. Nikah bukan hanya mengenai cinta, ia juga mengenai tanggungjawab.
Kawal rasa cinta itu dengan doa supaya Allah menjagakan dia untuk kau. Jika ada jodoh, lari mana pun Allah SWT tetap akan satukan. Biar lah hanya Allah SWT yang mengerti perasaan diri. Rahsia di antara kau dan Allah SWT. Rahsia seorang hamba bersama sang Pencipta.
Sudah sempurna dan cukupkah cinta terhadap Allah SWT dan juga kekasih-Nya, Rasulullah SAW? Cintai Allah dan Rasulullah SAW dengan sepenuh hati pasti kau akan merasakan keindahan cinta yang sebenar-benarnya. Dia sudah pun menetapkan jodoh setiap manusia sejak kita berada di dalam kandungan ibu kita lagi jadi jangan terlalu bimbang dan sibuk untuk mencari pasangan sebelum tiba waktu yang sesuai. Belajar lah untuk mencintai Allah SWT dan cari lah cinta-Nya dahulu sebelum mencari cinta makhluk yang juga dicipta oleh-Nya. Luahkan perasaan hanya pada Dia kerana Dia lebih mengerti apa yang sedang kita rasakan.
Friday, 5 April 2013
Kembalinya seorang hamba...
Kita leka. Leka dengan keseronokan dunia yang membutakan mata hati. Terlupa adanya Dia sebagai pemerhati. Terlupa adanya pengawal di sisi. Di mana kita letak kedudukan Allah di hati?
Di dalam sebuah Hadis Qudsi, diceritakan bahawa apabila seorang hamba berdoa disertai dengan tangisan maka Allah akan memberitahu dan menyuruh malaikat untuk menangguhkan permintaannya. Kerana apa? Kerana kata Allah, Allah rindu pada pengaduan yang bersungguh-sungguh seperti itu.
Allah Hu Akbar. Begitu besar kasih sayang Allah pada kita. Walau berdosa bagaimana sekalipun, Allah Maha Pengampun. Taubat sungguh-sungguh. Luahkan rasa hati kepada Dia yang setia mendengar.Kembalilah hati untuk sentiasa berzikir mengingati-Nya. Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan setiap hamba-Nya. Sebesar-besar kemurkaan Allah, lebih besar lagi kasih sayang-Nya. Menangis lah dalam rintihan jika itu yang mampu membuatkan kau berasa lega setelah meluahkan pada Dia. Ucapkan syukur kepada-Nya. Hanya Allah yang setia menemani dalam apa jua keadaan diri.
Allah SWT berfirman, "Aku sesuai dengan dugaan hambaKu kepadaKu dan Aku bersama dengannya ketika dia ingat kepadaKu dalam hatinya, Aku juga akan mengingatinya. Dan jika dia ingat kepadaKu dalam lingkungan khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika dia mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku mendekatinya dengan berlari." (Hadis Riwayat Syaikhani dan Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)
Pasti taubat diterima jika dilakukan dengan sepenuh hati kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dari saat kita bangun tidur sehinggalah kita melelapkan mata pada malam hari, kita sebenarnya dilimpahi dengan nikmat serta kasih sayang Allah, itulah yang seringkali kita lupa. Kita hamba jadi atas alasan apa perlu kita lupa kepada Allah yang memerintah seluruh pelosok dunia? Kembalilah mencari sinar Islam. Kembalilah mencari redha Allah. Perbanyakkan saham akhirat. Sebarkan keindahan Islam di mata seluruh manusia tidak kira di mana jua kita berada, bawa Islam bersama.
Friday, 15 March 2013
Ikhtilat...
Bismillahhirrahmanirrahim... Assalamualaikum sahabat, semoga kita sentiasa berusaha dan tidak putus asa dalam menggapai redha-Nya :)
"Beratnya menggalas perasaan cinta, tatkala berpacaran menjadi budaya, mujurlah ada Dia yang menunjuk cara, jangan diikut sebahagian besar manusia."
Ikhtilat. Apa itu ikhtilat? Ikhtilat dari segi bahasa bermaksud meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi istilah syarak pula, ikhtilat ialah percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan.
Jika tiada perkara penting yang hendak dibicarakan, lebih baik berdiam diri. Aku mohon sangat, tolong jaga ikhtilat. Memang susah terutama sekali bila ada kawan rapat yang berlainan jantina. Susah mana pun, cuba sedaya upaya. Sifat malu tu jangan kikis dari dalam diri semata-mata untuk mendapatkan perhatian. Bila bercakap mengenai ikhtilat ni, mungkin ramai daripada kalangan masyarakat kita yang memandang remeh. Zaman moden sekarang ni, masyarakat sudah tidak lagi ambil berat mengenai soal-soal sebegini. Akhir zaman. Maksiat berlaku pun boleh buat macam perkara biasa je. Berhati-hati dalam berurusan sesama mereka yang berlainan jantina. Boleh jadi urusan itu mendapat keredhaan Illahi atau mendapat yang sebaliknya iaitu kemurkaan-Nya. Hadkan pergaulan. Bicara bila perlu sahaja. Jaga maruah diri. Buat kaum hawa, jangan merendahkan martabat seorang wanita kerana mahu mendapatkan perhatian daripada si ajnabi. Islam telah menaikkan martabat kita, jangan kita pula yang kembali semula ke zaman jahiliah itu. Jangan baik hati sangat nak offer diri jadi bahan fitnah disebabkan pergaulan bebas yang kita amalkan.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda, "Akan terjadi berbagai fitnah, di mana pada ketika itu orang yang menjauhi fitnah lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari orang yang berjalan manakala orang yang berjalan lebih baik dari orang yang melibatkan dirinya dengan fitnah tersebut. Orang yang terlibat dengan fitnah tersebut akan mengalami kehancuran. Sesiapa yang menemui tempat berlindung maka hendaklah beliau berlindung dari fitnah tersebut."
Kita ini dalam kategori umat akhir zaman, fitnah merata-rata tempat ada. Tidak menjaga ikhtilat juga boleh dijadikan bahan fitnah. Mari cuba bermula daripada hari ini untuk menjaga ikhtilat. Mula-mula memang payah tetapi lama-lama ianya mudah :) Kita sama-sama perbaiki diri. Semoga Allah permudahkan, InsyaAllah Ta'ala :)
Friday, 15 February 2013
Buat sahabat...
Bismillahhirrahmanirrahim... Assalamualaikum :) Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi yang masih memberi kita peluang untuk memperbaiki diri hari demi hari.
Sahabat, semoga Allah menguatkan kau di saat lemah. Tukarkan lelah dalam diri kepada lillah. Ketika kau terluka dek kata-kata mereka, la tahzan. Janganlah bersedih kerana ujian itu tanda sayang Dia kepada hamba-Nya. Ujian itu sebagai tarbiyyah untuk kau menjadi semakin matang. Andai kau menggapai kejayaan, bersyukurlah kerana tanpa bantuan dari Allah kau tidak akan menggapai kejayaan itu. Andai kau mengalami kegagalan, jangan salahkan Allah juga takdir yang sudah ditetapkan sebaliknya bersangka baik terhadap Allah. Pasti akan ada sesuatu yang menggembirakan sebagai hikmahnya.
Iman dalam diri sentiasa perlu diperhati. Turun dan naik itu perkara biasa tetapi jangan sampai asyik turun dan tidak cuba untuk menjadikan iman itu menaik kembali. Istiqamah dalam setiap langkah. Dunia ini memang diciptakan untuk kita tetapi kita diciptakan untuk hari akhirat. Dalam misi dakwah, aku mohon lakukan apa yang telah dinasihati pada orang lain. Tujukan dakwah itu kepada diri sendiri. Perbetulkan niat.
Galakkan lah seseorang yang sedang memperbaiki dirinya, ajak dia bersama dalam mengejar redha dan cinta Illahi. Sahabat, jangan membandingkan diri dengan mereka yang punya apa yang kau mahu kerana Allah tidak memberikan apa yang kau mahu itu kerana Dia telah menyediakan yang lebih baik. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Belajar lah untuk menerima ketentuan Allah dengan redha dan lapang dada. Aturan Allah lebih indah dari yang kau jangkakan. Apa yang kita lalui daripada saat kita lahir, semuanya dengan izin Allah. Tiada satu pun yang berlaku tanpa izin-Nya. Berpenat lelah dahulu di dunia dan bersenang kemudian di akhirat. Belajar mencintai Allah sebelum mencintai hamba-Nya. Yakin pada Dia. Semoga Allah SWT permudahkan urusan mu, sahabat :)
Subscribe to:
Posts (Atom)






